15 Adab Dan Tradisi Melayu Ketika Melawat Atau Menziarahi Orang

Menerima perkhabaran gembira, kakak ipar sudah selamat melahirkan bebi boy pada pagi tadi. Alhamdulillah.. nak berkunjung hendaklah mengikuti beberapa garis adap dan tradisi kita ketika melawat atau menziarahi orang, bukan main serbu saja. Tapi tak mustahil ada saja macam tu.

1. Meminta Izin
Sila pastikan anda membuat temu janji dan meminta izin terlebih dahulu dengan tuan rumah sebelum berkunjung ke rumahnya. Ini untuk mengelakkan daripada tetamu "menerjah" ke rumah pada masa tuan rumah dalam keadaan yang belum bersedia. 

2. Berniat Baik
Ikhlaskan niat yang baik-baik sahaja sebelum berkunjung ke rumah orang. Janganlah sesekali terlintas di fikiran hendak memerhatikan perabot yang digunakan murah atau mahal ataupun makanan apa yang akan dijamu dengan niat untuk membawang.

3. Mengucapkan Salam dan Minta Izin Sebelum Masuk Rumah
Dalam ajaran Islam, jika setelah memberi salam tiga kali dan tiada jawapan daripada tuan rumah, maka tetamu harus beransur pulang. Dan jangan sesekali menerpa masuk ke dalam rumah orang tanpa diberi keizinan walaupun pintu rumahnya terbuka luas.


4. Tidak Menghendap atau Mengintip di Depan Pintu
Tetamu dilarang sama sekali mengintip tuan rumah dari sebalik tingkap atau pintu untuk memeriksa sama ada mereka ada di rumah atau tidak. Ini bukan mesyuarat tingkap atau pintu ya.

5. Tidak Terlalu Kerap Berkunjung ke Rumah yang Sama hingga Berlebih-lebihan
Lawatan tetamu hendaklah berpada-pada. Janganlah bertandang selang dua hari sekali atau terlalu kerap sehingga mengakibatkan tuan rumah berasa tidak selesa.

6. Pilih Waktu yang Sesuai
Tetamu harus mengelakkan bertandang ke rumah orang pada waktu-waktu umum untuk tidur atau berehat seperti pagi-pagi buta, tengah hari ataupun lewat malam. Seelok-eloknya, tanya terlebih dahulu pada tuan rumah waktu apakah yang paling sesuai untuk berkunjung. 

7. Menghormati Privasi Tuan Rumah
Tetamu hendaklah menjaga pandangan daripada mata meliar memerhatikan ahli keluarga tetamu, bilik-bilik ahli keluarga, susun atur rumah atau perkakas yang digunakan.

8. Duduk hanya di Tempat yang Telah Diizinkan
Duduk hanya apabila diizinkan dan apabila tuan rumah telah menunjukkan anda tempat duduk yang dikhaskan, janganlah sesuka hati berpindah ke bahagian lain atau sengaja meneroka tempat duduk yang lain.
Perkara yang sama sekiranya anda ingin bermalam di rumah orang. Hanya tidur di bilik yang telah disediakan. Jangan berpindah-randah atau menggunakan bilik lain tanpa kebenaran tuan rumah.

9. Jangan Mengintai atau Memasang Telinga
Sesetengah orang bertelinga lintah gemar mencuri dengar perbualan tuan rumah dengan pasangan atau perbincangan sesama ahli keluarga mereka. 

10. Jaga Tatatertib Anak-anak
Perhatikanlah anak anda sekiranya bertandang ke rumah orang. Jangan leka dengan membiarkan anak anda bermain-main dengan perabot atau perkakas rumah, memukul anak tuan rumah atau bertempik-tempik sambil lari bertempiaran. Disiplinkan anak anda supaya pandai membawa diri di rumah orang.
Paling digeruni apabila ada anak-anak segera memasuki semua bilik di seluruh rumah untuk menjenguk. Ini sama sekali tidak beradab dan dikhuatiri menyebabkan tuan rumah berasa tidak selesa dengan kunjungan anda.

11. Bawa Buah Tangan
Ini bukanlah satu kemestian namun lebih manis sekiranya tetamu tidak datang dengan tangan kosong. Belilah walaupun sedikit, seperti kuih pisang goreng, buah-buahan atau manisan untuk dihadiahkan kepada tuan rumah sebagai tanda terima kasih sudi menerima kunjungan anda sebagai tetamu.

12. Makan atau Minumlah apa Sahaja yang Dihidangkan
Kebiasaannya tuan rumah akan bertanya terlebih dahulu apa yang tetamu ingin jamah atau minum. Berpada-padalah jika ingin membuat apa-apa request sekalipun. Janganlah terlalu demanding seperti nak order makan di restoran.

13. Tidak Meleret-leret Ketika Berkunjung
Satu tips yang boleh digunakan ialah, apabila tuan rumah bertanya "Eh dah pukul berapa ya? Tak sedar masa dah berlalu!" ini bermakna sudah tiba masa untuk anda beransur pulang. Itu hanyalah bahasa kiasan yang sering digunakan tuan rumah untuk memberitahu tetamu bahawa "saya ada hal lain" atau "saya letih, bolehkah anda pulang sekarang?"

14. Tidak Pulang selagi Tidak Diizinkan
Sebetulnya, seorang tetamu tidak boleh berganjak pulang selagi tidak meminta izin dengan tuan rumah. Ini sering terjadi di majlis-majlis keramaian atau kenduri-kendara di mana tetamu terus pulang tanpa bertemu dengan tuan rumah. 
Sebelum pulang, pergilah bersalaman dan bertemu tuan rumah terlebih dahulu sebagai tanda terima kasih.

15. Mengucapkan Syukur dan Terima Kasih
Ucaplah terima kasih dan bersyukur atas kesudian tuan rumah menerima anda sebagai tetamu mereka sebelum bergegas pulang.

Silalah amatkan adap-adap ketika melawat atau menziarahi orang.

Terima Kasih

2 comments:

  1. alhamdulillah terima kasih atas perkongsian. tak semua antara kita akan buat adab dan tradisi ni ^_^

    ReplyDelete